06 November 2011
Sabri Yunus Mahu Erra Menang ASK 2011!
Bukan satu, tetapi empat anugerah yang berjaya dirangkul oleh produksi Sanggul Beracun pada malam Kemuncak Anugerah Skrin 2011 yang berlangsung malam tadi. Selain pengarahnya dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Drama dan Lakon TV Terbaik, Sanggul Beracun juga diumumkan sebagai Drama Terbaik dan Videografi Terbaik.
Mengulas tentang kejayaan besar itu, Sabri Yunus memberitahu dia sama sekali tidak menjangka percubaan pertamanya mengarahkan sebuah telemovie membuahkan hasil yang cukup membanggakan. Jelas orang lama dalam industri ini, kehadirannya ke ASK 2011 bukanlah mengharapkan kemenangan, tetapi sebagai tanda sokongan.
“Walaupun sebelum ini ramai yang kata saya akan menang, tetapi saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Sebenarnya saya mengharapkan Erra Fazira yang akan menang Pelakon Terbaik. Erra sangat bagus. Dia telah berikan lebih daripada yang saya mahukan. Apabila Erra tidak menang, memang saya rasa agak kecewa. Namun, saya tidak mempertikaikan kemenangan Umie Aida. Saya tidak menonton Airmata Nur Salina, tapi saya percaya Umie juga sudah lakukan yang terbaik,” ulas Sabri Yunus.
Berbalik kepada kejayaan peribadinya, pengarah, penulis skrip, pelakon dan pelawak ini mengakui selepas ini dia mungkin akan terlibat secara lebih serius dalam bidang pengarahan.
“Sebelum ini saya tidak pernah mendapat peluang sebegini. Selain itu, saya sendiri tidak pernah mencuba mencari peluang. Malah setelah skrip ‘Sanggul Beracun’ siap, saya meminta penerbit untuk cari orang lain untuk arahkan cerita ini. Bagaimanapun, mereka bertegas mahukan saya kerana berpendapat saya lebih memahami skrip yang ditulis.
Sebelum bersetuju, saya lebih dulu letakkan syarat. Saya mahukan pasukan terbaik dan permintaan saya itu dipenuhi. Lebih menggembirakan apabila pihak Astro cadangkan Erra sebagai pelakon utama dan dia bersetuju untuk berlakon, ” tambah Sabri Yunus .
Dalam masa yang sama, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini juga mengakui dia sebenarnya sangat cerewet dalam pemilihan pelakon. Jelasnya, dia mahukan pelakon yang benar-benar sesuai untuk setiap watak yang dicipta.
“Saya cerewet dalam menilai dan memilih pelakon. Sebabnya, saya seorang pelakon yang bermula dari bawah. Saya mahukan seorang pelakon yang betul-betul sesuai dengan watak. Ketika menulis watak Siti Aminah, saya sudah membayangkan Erra Fazira, tetapi saya tidak terlalu berharap kerana tahu Erra adalah satu nama besar. Tetapi, akhirnya saya bertuah dapat bekerjasama dengan Erra,” ulas Sabri Yunus.
Selepas ini Sabri Yunus mengharapkan kehadirannya sebagai orang di belakang tabir lebih disedari pihak produksi. Dia juga tidak menafikan untuk terus menghasilkan naskah terbaik. Buat masa ini, Sabri Yunus sedang sibuk menyiapkan telefilem berdasarkan novel ‘Hari-hari Terakhir Seorang Seniman’ karya Anwar Ridhwan yang turut diadaptasi ke pentas teater oleh Datuk Johan Jaafar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment