:: UsIa PeRjAlAnAn RuMaHtAnGgAkU ::

Daisypath Anniversary tickers

04 October 2011

:: Penjawat awam mesti berkecuali ::

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 3 Okt. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, penjawat awam di negara ini perlu mengekalkan sikap berkecuali dalam melaksanakan tugas mereka.

Titah baginda, penjawat awam yang profesional tidak akan menyokong mana-mana parti politik, sebaliknya hanya menjalankan tugas masing-masing berasaskan dasar yang telah ditetapkan.

"Beta tidak mahu melihat setiap perkara atau tugas yang dibuat oleh penjawat awam dipolitikkan, kerana ini akan menyusahkan rakyat dan melambatkan rancangan serta pelaksanaan program-program pembangunan yang telah dirancang.

"Oleh itu, setiap penjawat awam perlu komited dan mendokong aspirasi kerajaan hari ini," titah baginda pada Majlis Perasmian Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Ke-14 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.

Sultan Ahmad Shah bertitah, setiap penjawat awam perlu beriltizam, membentuk akhlak dan peribadi baik serta mengamalkan daya kerja berkualiti bagi mengekalkan persepsi dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

"Beta berpendapat, untuk melihat negara ini terus maju, aman dan program-program pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, ia memerlukan penggemblengan tenaga kerja seluruh penjawat awam di negara ini," titah baginda.

Titah baginda, organisasi awam juga hendaklah berubah atau membuat transformasi supaya semua penjawat awam dapat menghayati dan menjiwai peranan ke arah mewujudkan organisasi cemerlang.

"Semua penjawat awam mempunyai peranan untuk memajukan negara supaya Malaysia menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi pada 2020," titah baginda.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...